SYURGA ITU DIBAWAH TAPAK KAKI IBU

 

 

SYURGA ITU DIBAWAH TAPAK KAKI IBU
.
.
Pengorbanan ibu tidak dapat diukur dan dibandingkan dengan apa jua pun. Ia melebihi daripada segala pengorbanan. Tidak diragukan bahawa ibu secara alamiah memiliki peranan yang cukup strategik dalam mendidik anak sejak kecil sehinggalah dewasa.

Syariat Sa’i di antara bukit Safa dan Marwah dalam ibadat haji dan umrah adalah memperingati peristiwa yang berlaku kepada Siti Hajar (bonda Nabi Ismail) yang mana Siti Hajar penuh sabar dan tabah mencari air untuk menghilangkan dahaga anaknya.

Pengorbanan itu adalah bukti yang nyata bahawa Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang telah memberi penghargaan yang abadi kepada golongan ibu dengan disyariatkan peristiwa itu dalam salah satu Rukun Islam yang kelima.

Justeru itu, kita diperintahkan untuk memohon rahmat Ilahi yang tidak bertepi itu kepada kedua ibu bapa kita. Adalah wajar, kita memohon untuk kedua-duanya agar memperoleh lebih banyak daripada apa yang kita peroleh, membalas budi mereka melebihi budi mereka kepada kita. Bukankah kita diperintahkan untuk melakukan ihsan terhadap mereka berdua.

Nyata dan jelas sebabnya mengapa Islam memberi penghormatan itu kepada wanita yang dipanggil ibu. Ia tidak lain kerana kedudukannya yang penting dan peranannya dalam setiap kehidupan manusia adalah amat besar. Wanita itulah yang menjadi sumber alam yang pertama bagi permulaan sesuatu kehidupan manusia setelah mereka keluar dari alam zuriat.

Namun begitu, ibu tidak akan dapat menikmati kebaikan, kasih sayang dan penghargaan daripada anaknya, sekiranya dia gagal mendidik dan membimbing anak-anak dengan sempurna mengikut lunas-lunas yang dikehendaki oleh syarak. Menghormati ibu, mentaati, sedia berkhidmat kepadanya, tidak mengingkari perintahnya kecuali pada perkara yang bertentangan dengan syarak, adalah menjadi sebab seseorang itu dapat masuk ke syurga.
Terima kasih ibu ❤️